Penduduk Kampung ‘Icebox’ Mahu Dua Bangunan Usang Jadi Sarang Penjenayah Dirobohkan

Keadaan bangunan terbiar yang didakwa mengundang risiko keselamatan kepada penduduk di Kampung Titingan, di sini.

TAWAU: Penduduk Kampung Titingan di sini, mahu dua blok bangunan usang dan terbiar dirobohkan selepas ia didakwa menjadi sarang penjenayah dan penagih dadah.

Malah, keadaan bangunan berusia puluhan tahun itu yang dipenuhi sampah sarap serta ditumbuhi pokok dan semak samun mencacatkan pemandangan selain mengundang risiko kehadiran haiwan berbisa.

Penduduk, Syukri Mohd Fairuz, 48, mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) khasnya Majlis Perbandaran Tawau (MPT) mengambil tindakan meroboh dua blok bangunan terbiar berkenaan demi keselamatan penduduk setempat.

Menurutnya, blok bangunan terbabit sudah lama terbiar tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkaitan sama ada pemaju, pemilik, atau PBT.

“Setahu saya bangunan ini memang tidak pernah siap dan statusnya menjadi tanda tanya kepada penduduk termasuk saya sendiri yang sudah tinggal menetap di sini sejak 1980-an lagi.

“Beberapa insiden dan kejadian jenayah pernah berlaku di kawasan ini antaranya penjenayah ditembak mati pada 2016 apabila suspek dikatakan cuba menyerang polis,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagaimanapun Syukri berkata, tahap keselamatan di kampung itu terjamin memandangkan pasukan keselamatan terutamanya polis kerap menjalankan rondaan cegah jenayah selain terdapat pondok polis berhampiran.

Bagi pengusaha kedai runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 56, berkata, kes samun dan bunuh yang berlaku pada Khamis lalu adalah yang pertama kali serta amat mengejutkan.

“Saya sangat bersetuju jika bangunan itu dirobohkan kerana kita tidak mahu kejadian sama berulang sehingga meragut nyawa orang kampung,” katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang wanita disamun sebelum dibunuh dengan lehernya dikelar oleh suspek tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke rumah kakaknya pada jam 7.30 malam pada Khamis lalu.

Sehingga kini, pihak polis sedang giat memburu suspek yang melarikan diri sejurus selepas kejadian itu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *