Jadi Pembangkang Berwibawa, Bukan ‘Merengek’, Zahid Beritahu Muhyiddin

Ahmad Zahid Hamidi berkata Muhyiddin Yassin dan sekutunya perlu berasa malu dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan institusi Raja-Raja Melayu.

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin kerana menyifatkan Jemaah Menteri Anwar Ibrahim sebagai “paling mengecewakan”.

Dalam hantaran di Facebook, Zahid berkata Muhyiddin dan sekutunya harus belajar untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya “merengek”.

“Muhyiddin dan sekutunya perlu berasa malu dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan institusi Raja-Raja Melayu dan perlu mencontohi parti DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu,” katanya.

Zahid turut memberitahu presiden Bersatu itu untuk menerima hakikat bahawa beliau telah gagal menjadi perdana menteri.

Tambahnya, kritikan Muhyiddn terhadap Anwar yang memegang portfolio kewangan itu tidak melihat keperluan semasa yang memerlukan pemimpin berprestasi tinggi yang pernah menguruskan ekonomi negara sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyatakan bahawa Anwar sebelum ini mendapat pengiktirafan tertinggi daripada media antarabangsa, termasuk “Menteri Kewangan terbaik” oleh Euro Money Magazine dan “Menteri Kewangan Terbaik Asia” oleh Asia Money Magazine.

“Anwar juga pernah mendapat The Asian of The Year dan Malaysia serta pernah digelar The Asian Tiger dalam kalangan negara Asia ketika menjadi menteri kewangan. Sudah pasti pelabur asing lebih yakin untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan menteri kewangan,” katanya.

Semalam, Muhyiddin membidas Jemaah Menteri Anwar, yang menyifatkannya sebagai “paling mengecewakan dalam sejarah negara”.

Muhyiddin dalam kenyataan berkata, dengan melantik “kleptokrat”, Anwar telah mengorbankan prinsip tadbir urus yang baik yang dianjurkannya semasa PRU15.

Beliau merujuk pelantikan Zahid sebagai salah seorang timbalan perdana menteri dalam kerajaan perpaduan Anwar. Zahid turut dilantik sebagai menteri kemajuan desa dan wilayah.

Zahid didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram.

Muhyiddin turut mengkritik Anwar kerana memegang portfolio kewangan, sambil berkata ia akan menghakis kepercayaan rakyat serta pelabur terhadap kepimpinannya.

Menjawab kritikan itu, Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil berkata mungkin Muhyiddin lupa bahawa ini bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang akan membenarkan perdana menteri melantik sesiapa sahaja yang dikehendakinya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *