KUALA LUMPUR: MYAirline Sdn Bhd (MYAirline), syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) baharu Malaysia melancarkan tiga laluan pertamanya, sekali gus menandakan permulaan rasmi operasinya di Malaysia.
Tiga laluan berkenaan membabitkan laluan Kuala Lumpur ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu dengan jualan tiket penerbangan kini dibuka kepada orang ramai dengan penerbangan.
Harga tiket yang ditawarkan bermula RM48 dari Kuala Lumpur ke Langkawi manakala tambang untuk destinasi di Malaysia Timur pula merangkumi Kuching dan Kota Kinabalu masing-masing dari RM68 dan RM88.
Tiket boleh didapati secara eksklusif di laman web MYAirline di www.myairline.my dari 12.01 tengah malam pada 26 November hingga 30 November 2022 dengan tempoh perjalanan untuk promosi itu adalah dari 1 Disember 2022 hingga 25 Mac 2023.
“MYAirline akan memulakan perkhidmatan dan terbang terus dari habnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mulai 1 Disember dan seterusnya dengan penerbangan mingguan ke Kuching dan penerbangan dua kali seminggu ke Kota Kinabalu dan Langkawi.
“Mulai 2 Disember, MYAirline akan menambah penerbangan ke Kuching kepada dua kali seminggu. Kekerapan penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu akan meningkat kepada tiga kali seminggu mulai 23 Disember dan seterusnya.
“Laluan ini akan dikendalikan oleh pesawat Airbus A320-200 dengan 180 tempat duduk dalam kabin kelas tunggal,” demikian menurut MYAirline dalam satu kenyataan, hari ini.
Bersempena kempen ‘Dibuka untuk Jualan’, MYAirline juga telah melancarkan baucar MYAirline eksklusif untuk pelnacaran rasmi itu.
Tempahan boleh dibuat bermula 26 November hingga 30 November 2022 dan baucar layak ditebus untuk penerbangan antara 1 Disember 2022 hingga 15 Disember 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo, berkata LCC baharu itu merancang untuk menawarkan penerbangan ke Kota Bharu, Pulau Pinang, Sibu, Tawau, Miri, Alor Setar, Terengganu dan beberapa destinasi utama lain di Malaysia selepas mendapat kelulusan pengawal selia.
“Akhirnya, kami teruja untuk mengumumka bersedia untuk kempen ‘dibuka untuk jualan’. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti MYAirline atas kesabaran mereka ketika kami melalui proses kawal selia untuk permohonan lesen.
“Sijil Operator Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan bahawa MYAirline mematuhi keperluan peraturan keselamatan dan mempunyai keupayaan profesional untuk mewujudkan dan menyelenggara sistem untuk operasi pesawat,” katanya.
Teo berkata, pelanggan kini mempunyai pilihan yang berdaya maju untuk perjalanan udara di Malaysia berikutan penyertaan MYAirline ke industri penerbangan negara.
“Kemasukan kami ini akan merangsang lebih banyak permintaan perjalanan di Malaysia. Inilah yang dimaksudkan oleh MYAirline, menyediakan perjalanan myairline.my yang berpatutan dengan perkhidmatan terbaik untuk semua orang.
“Kami akan meningkatkan kekerapan penerbangan apabila rangkaian domestik berkembang dan merancang untuk mula terbang di rantau ASEAN selewat-lewatnya pada suku kedua tahun depan.
“Penyediaan kapasiti untuk komuniti ini akan menarik lebih ramai pelancong dan merangsang pertumbuhan pelancongan Malaysia,” katanya.
Beliau menjelaskan, MYAirline komited ke arah mencapai matlamat kelestariannya dengan menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia yang dilengkapi dengan tempat duduk yang ringan, inovatif dan mesra alam.
“Dikilangkan di Itali, tempat duduk yang direka bentuk secara ergonomik ini menjimatkan kira-kira 800 kilogram berat yang diterjemahkan kepada penjimatan bahan api.
“Syarikat penerbangan ini juga telah menyuntik pelaburan besar dalam pendigitalan, di mana ia perintis LCC di Malaysia untuk mendigitalkan semua manual yang berkaitan (kawal selia dan bukan kawal selia) dari hari pertama. Inisiatif hijau MYAirline yang lain termasuk memproses dokumentasi pengambilan secara digital dan mentadbir proses kewangan pada storan awan yang selamat.
“MYAirline turut menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mereka bentuk pakaian seragam neutral jantina untuk kru kabin dengan jaket dan seluar uniknya yang digayakan dengan sepasang kasut putih. Set pakaian ini memberikan rupa kasual sambil memberikan keselesaan kepada kru kabin semasa dalam perjalanan,” katanya. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost