SESB Rugi RM16 Juta Akibat Lombong Mata Wang Kripto

TAWAU : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerugian RM16 juta dalam tempoh 11 bulan ini akibat aktiviti perlombongan mata wang kripto seperti Bitcoin yang membuat penyambungan elektrik secara haram di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar berkata dalam tempoh itu juga, SESB dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerbu 54 premis yang dikenal pasti melakukan penyambungan haram.

Beliau berkata seorang individu ditahan di Tuaran dan pihaknya juga telah mengenal pasti sejumlah lokasi kegiatan berkenaan di seluruh Sabah untuk tindakan selanjutnya.

“Saya minta kerjasama orang awam melaporkan kepada SESB kerana kegiatan ini bukan hanya menyebabkan kerugian SESB tetapi merugikan semua pengguna dan pelanggan kerana bila ada sambungan haram, ia akan menyebabkan gangguan bekalan akibat arus melampau secara tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyerahkan peralatan sokongan operasi SESB kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini bagi tugasan melibatkan pembanterasan kegiatan pelombongan mata wang kripto.

Turut hadir, Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan.

Mohd Yaakob berkata penyambungan elektrik haram melibatkan pelombong Bitcoin di Sabah bermula sejak 2018 dan pada masa ini SESB bersama 11 pasukan penguat kuasa giat melaksanakan operasi menghapuskan kegiatan berkenaan.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata kerjasama antara PDRM dengan SESB penting bagi membanteras sepenuhnya kegiatan mencuri elektrik termasuk aktiviti perlombongan mata wang kripto di Sabah.

Beliau berkata JSJ Sabah perlu memantapkan siasatan dan operasi melibatkan kes penyambungan wayar secara haram serta kegiatan mencuri elektrik untuk perlombongan Bitcoin.

“Polis dengan kerjasama SESB akan bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang melakukan perbuatan mencuri bekalan elektrik,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *