Penduduk Long Pasia Idamkan Jalan Berturap, Bekalan Elektrik, Air Bersih

SIPITANG, 14 Nov : Penduduk di Kampung Long Pasia yang terletak lebih 120 kilometer dari pekan Sipitang di sini sudah lama mengidamkan kemudahan awam yang setaraf dengan kawasan lain di Sabah terutama jalan raya lebih baik, bekalan elektrik dan air bersih.

Lebih 1,000 penduduk di kampung yang terletak di dalam Mukim Melamam berharap calon yang dipilih untuk Parlimen Sipitang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini dapat menamatkan ‘kepenatan’ dan ‘keperitan’ mereka yang saban hari menggunakan jalan raya kerikil dan bertanah merah sejauh 128 kilometer ke Pekan Sipitang untuk memenuhi keperluan harian.

Menurut penduduk, perjalanan menempuh jalan itu mengambil masa antara lima hingga tujuh jam, bergantung kepada keadaan cuaca, malah adakalanya mereka langsung tidak dapat keluar ke pekan terutama apabila musim hujan kerana jalan sangat licin atau terputus disebabkan laluan dinaiki air banjir.

Ketua Kampung Long Pasia Yakub Sim, 57, berkata keperluan paling penting bagi mereka ialah jalan raya ‘sakit’ yang perlu dibaiki meskipun laluan itu sudah sekian lama menjadi nadi perhubungan buat penduduk kampung di pedalaman Sabah itu.

“Perkara yang kami idamkan ialah jalan raya, isu ini yang paling mencabar tetapi kita harap supaya ia diselesaikan oleh bakal pemimpin di kawasan ini, kita harap perkara ini dapat diambil perhatian,” katanya kepada Bernama.

Kampung Long Pasia yang terletak di Tanah Tinggi Meligan pada ketinggian 1,000 meter dari aras laut dan lebih 300 kilometer dari Kota Kinabalu terkenal dengan ekopelancongan dengan majoriti penduduknya terdiri daripada etnik Lundayeh.

Yakub berkata selain jalan raya, beliau juga berharap projek bekalan elektrik melalui penjana solar di kampung itu yang terbengkalai dapat diteruskan bagi memudahkan penduduk di situ menerima bekalan elektrik tanpa perlu menggunakan generator dengan kos minyak antara RM300 hingga RM400 sebulan.

Projek Bekalan Eletrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di Station 2 Kampung Long Pasia  dilaksanakan secara rundingan terus (reka dan bina) pada 2017 sepatutnya siap pada 2019, namun terbengkalai sehingga hari ini walaupun bangunan serta peralatan seperti penjana telah disiapkan.

Beliau amat mengalu-alukan kedatangan calon PRU15 ke kampung itu bagi mendengar sendiri keluh-kesah mereka dan berharap calon yang bertanding dan memenangi Parlimen di kawasan itu akan mendengar suara serta membantu penduduk menikmati kehidupan lebih selesa.

Bekas pemain bola sepak berasal dari Sabah, Mafry Balang, 38, turut melahirkan hasrat yang sama agar jalan raya ke Kampung Long Pasia dinaik taraf secara berperingkat.

Anak jati Kampung Long Pasia itu juga mencadangkan agar laluan jalan raya diturap menggunakan simen bagi memudahkan dan memberi keselesaan kepada penduduk berhubung dengan dunia luar.

“Dari dulu sampai hari ini, jalan raya kami tetap sama, harapan sebagai pengundi di sini (Long Pasia) kalau calon kita menang, beliau boleh baiki jalan raya ke Long Pasia,” kata pemain pertahanan yang pernah mewakili pasukan Sabah, Melaka, Sarawak dan Pulau Pinang antara 2005 hingga 2019 itu.

Pada masa sama, Mafry juga memohon agar sebuah dewan terbuka dibina di kampung itu untuk kegunaan penduduk bagi memudahkan mereka mengadakan pelbagai majlis keramaian serta aktiviti kemasyarakatan.

Penduduk Kampung Meligan di sini, kira-kira 43 kilometer dari Kampung Long Pasia, iaitu Kaluah Mangalu, 60, pula berharap Loji Rawatan Air Meligan yang dilihat telah siap diharap dapat beroperasi dalam masa terdekat untuk membekalkan air bersih serta terawat kepada penduduk di kampung itu.

Beliau berkata pada masa ini, penduduk kampung berkenaan yang terdiri daripada suku kaum Murut bergantung kepada bekalan air graviti untuk kegunaan seharian.

“Kami berharap supaya calon yang menang nanti akan dapat mempercepatkan proses bekalan air bersih, solar hibrid, menaik taraf jalan raya dan bangunan prasekolah kerana ketika ini prasekolah menggunakan rumah penduduk kampung,” katanya.

Kerusi Parlimen Sipitang menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Datuk Matbali Musah daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS-Bersatu), Lahirul Latigu mewakili Pakatan Harapan (PH-Amanah) dan Datuk Adnan Puteh atas tiket Warisan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *