BN Yakin Dapat Bentuk Kerajaan Dengan GPS, Kata Ismail

Ismail Sabri Yaakob berkata BN dan GPS mempunyai sejarah hubungan yang panjang dan memahami antara satu sama lain.

SELANGAU: Barisan Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan stabil selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan mendapat kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya walaupun GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) tidak bersama BN, namun kedua-duanya mempunyai sejarah hubungan yang panjang.

“Kita memahami antara satu sama lain, kita memahami aspirasi rakyat Sarawak. Kita lebih memahami hubungan, yang walaupun kita berbeza sekarang ini tetapi kita masih bersama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau untuk Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, Ahli Parlimen GPS telah menunjukkan kesediaan mereka untuk tetap bersama dengan Ahli Parlimen BN sewaktu menjadi pembangkang selepas PRU14 dan menyertai kerajaan yang dibentuk BN pada 2020.

“Waktu saya menjadi ketua pembangkang, GPS bersama kita. Dia tak sertai kerajaan PH semasa itu. Maknanya kita tetap bersama. Bila kita bentuk kerajaan yang baru, GPS juga bersama kita, pastinya hubungan itu akan diteruskan,” katanya.

Menyentuh kenyataannya sebelum ini berhubung keyakinan untuk BN memenangi PRU15, Ismail berkata biarpun kemenangan itu nanti hanya berdasarkan majoriti mudah namun kerajaan akan tetap stabil ekoran penguatkuasaan undang-undang lompat parti.

“Beza sekarang dengan dulu, kalau dulu majoriti mudah itu amat membahayakan kerana masih boleh lompat parti. Sekarang ini dengan akta lompat parti, selepas menang tak ada siapa pun boleh lompat parti. Kalau lompat, dia kena kosongkan kerusi dan masuk pertandingan semula,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt lepas berkemungkinan dibentangkan semula dengan penambahbaikan jika BN diberi mandat menerajui kerajaan selepas PRU15.

Katanya sebahagian besar manifesto BN untuk PRU15 berkisar kepada belanjawan berkenaan.

“Ada kemungkinan juga (Bajet 2023 yang dibentang semula) ditambah baik, jadi kita akan tengok selepas PRU nanti. Yang pentingnya kita perlu menang dulu,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *