Selepas Selangor, Sabah Digesa Isytihar 19 Nov Cuti Umum

Kerajaan persekutuan digesa mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti umum di seluruh negara bagi memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab keesokannya.

KOTA KINABALU : Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking menggesa kerajaan Sabah mencontohi Selangor mengisytiharkan cuti negeri kerana pilihan raya umum.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengisytiharkan 19 Nov, yang jatuh pada Sabtu, sebagai cuti khas untuk membolehkan pekerja mengundi.

Leiking, yang mempertahankan kerusi Parlimen Penampang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), berkata kebanyakan rakyat Sabah bekerja pada Sabtu.

“Walaupun saya faham ia boleh mengganggu operasi harian, adalah salah untuk menghalang orang ramai daripada menggunakan hak mengundi mereka dan memilih kerajaan persekutuan yang akan datang.

“Mungkin kita boleh meminta majikan membenarkan pekerja bekerja syif, untuk membantu mengurangkan sebarang gangguan dalam operasi mereka,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti umum di negeri itu.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana ramai rakyat yang bekerja dan menetap di Selangor, tetapi merupakan pengundi berdaftar di kampung halaman mereka di negeri lain.

Beliau turut menggesa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti umum di seluruh negara bagi memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab keesokannya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *