Banjir Di Manggatal : 16 Mangsa Diselamatkan

Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam banjir di Kampung Rampayan, Mangatal. – Foto BOMBA

KOTA KINABALU : Pasukan bomba menyelamatkan 16 individu di Kampung Rampayan, Manggatal di sini yang terperangkap apabila rumah mereka dinaiki air selepas hujan lebat berterusan sejak petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.23 petang.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Seramai 16 mangsa terdiri daripada tiga lelaki dewasa, empat wanita dewasa dan empat kanak-kanak lelaki serta lima kanak-kanak perempuan dikeluarkan oleh pasukan bomba ke kawasan selamat.

“Semua mangsa kemudian ditempatkan sementara di rumah jiran berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Menurutnya, operasi tamat pada 7.22 malam.

Sementara itu, Di Sepanggar berlaku tanah runtuh menghempap dua rumah dan sebuah kereta Perodua Kancil di tepi jalan hadapan surau Kampung Gentisan Wak-Wak, di sini, petang tadi.

Menurut jurucakap PGO JBPM Sabah, pihaknya menerima panggilan jam 4.52 petang dan tiada mangsa yang terbabit.

Katanya, pasukan bomba dari BBP Tuaran bersama orang awam mengeluarkan kereta berkenaan dari runtuhan.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian operasi ditamatkan pada 5.55 petang,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *