Sindiket Edar Dadah Di Tiga Daerah Lumpuh

Mohd Haris (dua dari kiri) dan pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi bulan lalu. – Foto IP Penampang

PENAMPANG : Satu rangkaian pengedaran dadah di tiga daerah berjaya dilumpuhkan selepas polis menahan tiga individu di dua lokasi berasingan, di sini.

Mereka ditahan dalam operasi digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada 26 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil operasi itu polis merampas dadah jenis syabu dianggarkan RM130,000, selain merampas empat kenderaan, wang tunai dan barang kemas dengan keseluruhannya berjumlah RM480,700.

Katanya, suspek pertama berusia 22 tahun ditahan pada 1.30 pagi di sebuah rumah di Beverly Hills Apartment, bersama dadah berjumlah 3,752 gram yang disembunyikan di dalam kotak.

“Semua dadah berkenaan dibungkus rapi di dalam plastik teh cina dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Hasil siasatan lanjut, polis kemudiannya menahan dua lelaki berusia 21 dan 27 tahun di kawasan bangunan TI Bundusan pada 7.05 malam (hari sama),” katanya pada sidang media di IPD Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, kumpulan berkenaan dipercayai aktif kira-kira dua bulan lalu dengan mengedar dadah di Kota Kinabalu, Penampang dan Tawau, selain dalang untuk pengedar lain mendapatkan bekalan dalam kuantiti lebih kecil.

“Empat kenderaan jenis Perodua Alza, Proton X50 dan Proton Persona serta Toyota Land Cruiser dirampas, selain wang tunai RM119,600 dan rantai emas RM21,000,” katanya.

Mohd Haris berkata, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan juga didapati negatif dadah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala semua dadah dirampas boleh menampung keperluan lebih 18,000 penagih,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *