Geran Khas Tahunan RM100,000 Kepada Persatuan Pesara Kerajaan Sabah – Hajiji

Ketua Menteri D

KOTA KINABALU, 18 Okt : Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan geran khas tahunan RM100,000 kepada Persatuan Persara Kerajaan Sabah bagi memudahkan pelaksanaan program dan aktiviti persatuan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata geran itu antara empat inisiatif baharu untuk pesara bukti keprihatinan kerajaan, termasuk tambahan Bantuan Khas Kewangan kepada pesara sebanyak RM150 dicarumkan dalam akaun i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kerajaan negeri juga akan meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari mulai tahun hadapan, dan menyediakan pejabat untuk pesara di beberapa daerah yang akan dikenal pasti,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 di sini, meraikan 1,167 orang yang bersara sepanjang 2019 hingga 2021.

Hajiji berkata gelaran sebagai pesara kerajaan membuka episod dan lembaran baharu kepada pesara untuk menyumbang bakti dalam apa juga cara yang boleh mereka berikan kepada masyarakat dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan ketika bertugas dalam perkhidmatan awam.

“Kerajaan negeri akan merancang lebih banyak inisiatif meningkatkan penglibatan pesara kerajaan yang berkemahiran dan berkepakaran dalam penetapan, pemantauan dan penilaian keberkesanan inisiatif-inisiatif kerajaan negeri,” katanya.

Justeru beliau berharap pesara yang telah meninggalkan perkhidmatan kerajaan akan terus menyematkan semangat cintakan negara serta mengekalkan sokongan dan keyakinan diri serta ahli keluarga kepada pemimpin serta kerajaan yang sedang memerintah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *