JDT Ranapkan Misi Sabah Ke Piala AFC

Pemain JDT, Leandro Velazquez bersaing mendapatkan bola pada perlawanan antara JDT menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan musim ini apabila membenam Sabah FC 3-0 pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kejayaan itu mengulangi rekod tanpa kalah yang dilakar pada musim 2016 dan 2020 sekali gus menyaksikan harapan menggunung skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee memburu slot ke saingan Piala AFC pada musim depan berkecai.

Tanpa menurunkan Fernando Forestieri yang masih dibelenggu kecederaan, pengendali JDT, Hector Bidoglio menaruh kepercayaan kepada Syafiq Ahmad untuk membarisi kesebelasan utama selepas beraksi cemerlang dengan meledak dua gol ketika menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 4-1, Selasa lalu.

JDT tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-16 berpunca daripada gerakan Arif Aiman Hanapi di posisi sayap kanan yang melakukan hantaran lintang tepat kepada Bergson Da Silva yang merembat bola leret tepat ke penjuru kiri gawang gol menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Bergson hampir mencetak gol kedua pada minit ke-30 selepas menerima bola hantaran Nazmi Faiz Mansor tapi bola rembatan deras penjaring liga musim ini sempat ditampan keluar Khairul Fahmi sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan dengan Damien Lim.

Tuan rumah menambah derita skuad Badak pada minit ke-38 selepas Arif Aiman yang mengambil sepakan percuma dari jarak 25 meter merembat tepat ke penjuru kiri gawang gol menewaskan Damien untuk meletak JDT selesa mendahului 2-0.

Memasuki babak kedua, JDT terus mendominasi permainan apabila sering melancarkan gerakan ke kubu Sabah FC yang terpaksa berhempas pulas untuk menyekat serangan bertali arus anak didik Hector Bidoglio.

Bergson terus mengganas dalam perlawanan itu apabila menjaringkan gol kedua peribadi dan jaringan ke-28 dalam saingan liga selepas kesilapan benteng Dominic Tan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan pemain import dari Brazil melakukan sepakan akrobatik untuk menewaskan Damien. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *