Rompakan Di Laut, 20 Tentera Ditahan

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR : Seramai 20 anggota tentera ditahan kerana disyaki terbabit dalam dua kes rompakan di laut di perairan Pulau Siamil dekat Semporna, Sabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata semua suspek ditahan susulan dua laporan diterima pihak berkuasa pada 15 dan 18 Ogos lalu di perairan Pulau Siamil.

“Terdapat dua kes rompakan di laut yang disyaki dilakukan oleh anggota keselamatan pada Ogos lalu di perairan Pulau Siamil, Semporna, Sabah.

“Ia bersabit Bum Bum repot 1462/2022, kejadian pada 15 Ogos 2022 dan Bum Bum repot 1463/2022, kejadian pada 18 Ogos 2022,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta kerajaan menyatakan secara terperinci kejadian rompakan berkumpulan didakwa dilakukan anggota keselamatan negara pada Ogos yang lalu di perairan Pulau Siamil.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan.

“Semua suspek sudah dijamin pada 25 September lalu dan kes masih dalam siasatan.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian perlu menunggu sehingga siasatan selesai,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *