KOTA KINABALU : Seorang wanita ditahan selepas dikesan melakukan penipuan dengan menawarkan rumah sewa yang tidak wujud kepada beberapa penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dan orang persendirian.
Wanita berusia 39 tahun terbabit ditahan polis pada jam 8.30 pagi semalam, selepas satu laporan dibuat terhadapnya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek didapati menawarkan rumah sewa di Beverly Hills, Jalan Bundusan, di sini, menerusi Facebook (FB).
Katanya, mangsa yang bertemu dengan suspek di Kepayan Ridge kemudiannya membuat pembayaran secara tunai sebanyak RM1,500 sebagai deposit.
“Suspek berjanji bahawa mangsa boleh mula tinggal di rumah berkenaan pada 17 September lalu namun tidak memberikan alamat rumah atas pelbagai alasan.
“Suspek akhirnya gagal dihubungi dan mangsa terus membuat laporan polis selepas menyedari tertipu oleh wanita terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku menawarkan rumah sewa berkenaan kepada mangsa dan menerima wang deposit untuk kegunaan sendiri.
“Siasatan masih diteruskan dan polis percaya ada beberapa lagi laporan membabitkan suspek akan menyusul,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihati orang ramai terutamanya penuntut IPT supaya sentiasa berhati-hati dalam urusan sewa rumah.
Katanya, orang ramai tidak seharusnya mudah percaya kepada iklan yang terpapar di media sosial.
“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang pembayaran sebelum memastikan rumah sewa berkenaan benar-benar wujud,” katanya. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost