Cikgu Hidayu Finalis Anugerah Gamechanger Bett Asia 2022

KENINGAU : Cik Hidayu Bedesly yang merupakan guru pendidikan awal kanak-kanak Kolej Vokasional Keningau telah tercalon sebagai salah seorang dari lima finalis anugerah Bett Asia kategori gamechanger atas sumbangannya sebagai pencipta kandungan (content creator).

Bett Asia merupakan konvensyen pendidikan teknologi terkemuka Asia yang dianjurkan secara tahunan di wilayah Asia dan ianya akan berlangsung secara bersemuka pada 11 sehingga 12 Oktober 2022 di Bangkok, Thailand.

Pengumuman senarai finalis telah diumumkan pada 22 September 2022 di laman sesawang penganjur dan ianya boleh diakses melalui pautan berikut: https://asia.bettshow.com/page/shortlist2022

Cik Hidayu Bedesly merupakan seorang YouTuber yang aktif menghasilkan video-video tutorial berkenaan dengan pendidikan awal kanak-kanak yang asalnya hanya diakses oleh para pelajar kolej tersebut sebelum ianya turut digunakan sebagai sumber bahan pembelajaran oleh guru-guru dari kolej lain yang mengajar subjek berkaitan dengan perkembangan kanak-kanak.

Cik Hidayu juga kerap mengadakan kelas tuisyen secara langsung melalui saluran YouTube miliknya yang disertai oleh murid-murid tadika dengan pemantauan guru-guru mereka.

Dia telah membimbing ramai pelajar di kolej terbabit untuk menghasilkan video-video berkenaan dengan kursus yang mereka pelajari sebagai satu teknik pembelajaran.

Malah dia telah mengendalikan sesi perkongsian untuk golongan pendidik setempat. Pengarah kolej itu, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, menyifatkan pencalonan Cikgu Hidayu untuk anugerah tersebut sebagai bukti bertapa pentingnya bagi guru-guru untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dari masa ke semasa.

Dia berpendapat guru-guru perlu berani untuk mencuba sesuatu yang baru agar kualiti pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di sekolah dan luar sekolah terus dipertingkatkan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Saluran YouTube Cikgu Hidayu bolehlah diakses dan diikuti melalui pautan ini: https://youtube.com/c/BedeslyYu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *