Penjalan Kaki Maut Dilanggar Lari Di Sinsuran

KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut dalam insiden kemalangan langgar lari berhampiran Restoran Maimunah di Jalan Tun Razak pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, mangsa seorang lelaki berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya itu masih belum diketahui dan sedang dikenal pasti.

Beliau berkata, siasatan awal dilokasi mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di kiri jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di bahagian kepala.

Mangsa ditemukan oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan tersebut.

“Berdasarkan pemeriksaan terhadap pejalan kaki itu, mangsa disyaki dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak diketuai jenis dan nombor pendaftarannya. Mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala berkemungkinan akibat hentakan objek keras di bahagian muka dan kepala.

“Terdapat kesan tayar kenderaan pada lorong sebelah kiri disyaki kesan brek sebuah kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu untuk menghubungi balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu atau merbahaya hingga mengakibatkan kematian.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *