KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menasihati industri penerbangan mengambil berat mengenai aduan penumpang ketika sektor pengangkutan udara meningkat di seluruh dunia.
Pengerusi eksekutifnya, Saripuddin Kasim, berkata pihaknya menerima 1,251 aduan pada suku kedua 2022, peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 157 laporan untuk tempoh yang sama pada tahun lalu.
Namun, pada tahun lalu Malaysia masih menutup sempadan antarabangsanya.
Katanya, 99.1% aduan adalah berkaitan syarikat penerbangan manakala selebihnya adalah membabitkan lapangan terbang.
“Dari Jan ke Jun 2002, AirAsia menerima aduan paling tinggi iaitu 42.1% dari keseluruhan aduan, diikuti MAS dengan 40.7% dan Batik Air, 7.95%.
“Penjadualan semula, pembatalan penerbangan, dan tempahan tiket dalam talian menyumbang kepada 46.1% dari keseluruhan aduan,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai langkah proaktif, Saripuddin berkata Mavcom sentiasa berhubung dengan penyedia perkhidmatan penerbangan bagi memastikan isu yang berkenaan dapat ditangani.
“Sebagai tambahan, Mavcom berusaha memperkasakan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 untuk memberi lebih perlindungan kepada penumpang dan terus menggalakkan mereka mempertahankan hak sebagai pengguna,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost