TAWAU : Empat individu termasuk tiga beradik direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas, dekat sini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Zul Elmy Yunus selepas membenarkan permohonan dikemukakan pihak polis.
Terdahulu, kesemua suspek berusia 20 hingga 43 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek ditahan dalam serbuan di tempat letak kereta di Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas, dekat sini, kira-kira 5 petang semalam selepas dilihat mencurigakan.
Ketika serbuan, dua suspek dilihat memunggah tiga kotak mengandungi sejumlah dadah jenis ganja dari but belakang kereta dinaiki mereka lalu membawanya naik ke tangga sebuah premis sebelum ditahan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan ganja antara yang terbesar pernah direkodkan, setakat ini.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan satu sidang media akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost