Pelajar Istimewa Sabah Menang Anugerah World Changer

ALEXIUS Ignatius, 17 tahun, pelajar berkeperluan khas Kolej Vokasional Keningau, telah dipilih sebagai penerima World Changer Award untuk bulan September 2022 oleh persatuan pendidikan khas global, Special Education Network & Inclusion Association (SENIA), yang berpusat di Kanada.

Pelajar yang berasal dari Papar itu telah dipilih sebagai pemenang anugerah tersebut atas sumbangannya dalam pendidikan khas yang dijelaskan dengan lebih lanjut di laman sesawang penganjur yang boleh diakses melalui: https://www.seniainternational.org/alexius-ignatius-june-2022-senia-world-changer-award-recipient/

Alexius Ignatius merupakan rakyat Malaysia yang pertama yang berjaya memenangi pingat emas dalam festival seni dalam talian anjuran Festival Bridges iaitu persatuan seni Eropah.

Cerita animasi bertajuk ‘Timbalun” yang disampaikan olehnya dalam Bahasa Inggeris telah dianugerahkan pingat emas di festival seni Ritmos Brasileiros 2022 yang berpusat di Sao Paulo, Brazil, pada 16 Mei 2022.

Dia juga aktif dalam aktiviti sukarelawan dimana dia telah banyak membantu pasukan sekolah dalam pelbagai bidang. Dia memainkan peranan penting dalam pengurusan dan latihan pasukan bola lisut yang telah mendapat tempat kedua di kejohanan peringkat daerah.

Dia juga banyak membantu pasukan teater kolej itu yang berjaya menjuarai pertandingan drama Bahasa Inggeris Keningau.

Dia merupakan ketua aktiviti pengumpulan dana melalui gerai jualan makanan untuk membantu menanggung kos lawatan sambal belajar bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas dan pembimbing rakan sebaya di sekolah itu.

Pengarah kolej Vokasional Keningau, Encik Johari @ Jaibin Bin Sabin, sangat berbesar hati dengan penganugerahan tersebut kerana ianya mampu meningkatkan kesedaran orang awam dan industri pekerjaan berkenaan dengan kemampuan dan keupayaan individu berkeperluan khas.

Dia berkata bahawa KV Keningau komited untuk terus memberi peluang kepada golongan ini agar mereka dapat mendapat pendidikan yang berkualiti dan praktikal.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *