Rosmah Dipenjara 10 tahun, Denda RM970 Juta

Hakim Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Rosmah Mansor atas tiga pertuduhan rasuah dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah Mansor selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Hakim Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Hakim turut memerintahkan Rosmah menjalani hukuman penjara 10 tahun lagi jika gagal membayar denda RM970 juta.

Pasukan pendakwaan bagaimanapun tidak membantah permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda.

Rosmah dibebaskan dengan jaminan RM2 juta yang dibayarnya sebelum ini, ketika kali pertama didakwa di mahkamah empat tahun lalu.

Terdahulu, Rosmah, 70, didapati bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dikenakan ke atasnya.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta untuk dirinya sendiri, daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin yang dibuat melalui bekas pembantu Rizal Mansor, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek tenaga solar.

Dia juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Dis 2016 dan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *