Cikgu Anita Finalis Malaysia Teacher Prize bernilai RM 50,000

KENINGAU : Puan Anita Md. Yasin, guru program bakeri dan pastri serta ketua jabatan hospitaliti Kolej Vokasional Keningau, telah berjaya menjadi salah seorang 10 finalis terbaik bagi anugerah guru paling berprestij di Malaysia iaitu Malaysia Teacher Prize yang menawarkan hadiah wang berjumlah RM 50,000.00 kepada seorang pemenang.

Senarai maklumat 10 finalis tersebut telah diumumkan secara rasmi pada 31 Ogos 2022 di laman sesawang penganjur, Pemimpin GSL, yang boleh diakses melalui pautan berikut: https://malaysiateacherprize.org/finalist-list-name/

Cikgu Anita telah berjaya melayakkan diri menjadi finalis berdasarkan pencapaian dan sumbangannya dalam bidang pendidikan.

Dia telah berjaya mewujudkan jalinan kerjasama antara sekolah itu dengan industri dan institusi pendidikan di dalam dan luar negara. Usaha ini meningkatkan prospek kerjaya para pelajar di kolej itu.

Dia juga telah melaksanakan pelbagai projek komuniti dimana dia melatih golongan berpendapat rendah dan individu berkeperluan khas dalam kemahiran pembuatan kek dan keusahawanan.

Dia juga telah mengetuai pasukan inovasi kolej itu yang terdiri daripada guru dan pelajar untuk bertanding di negara Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan Thailand pada tahun 2018 dan 2019 dan mereka berjaya memenangi beberapa pingat termasuk lima pingat emas.

Dia juga pernah membentang kajiannya di persidangan penyelidikan bersemuka dan dalam talian yang berpusat di Malaysia, Thailand, Turki dan United Kingdom.

Cikgu Anita juga telah dianugerahkan status Guru Cemerlang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia beberapa tahun yang lepas.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, mengucapkan tahniah kepada guru ini atas sumbangannya yang telah memberi impak yang signifikan kepada para pelajar dan guru di kolej itu serta komuniti setempat.

Dia berharap agar Cikgu Anita terus konsisten dalam usaha murninya membantu komuniti pendidikan serta masyarakat umum.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *