RANAU: Seramai 22 peserta termasuk enam pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) bagi Ekspedisi Kinabalu OKU Challenge 2022 memulakan pendakian mereka dari Timpohon Gate di sini pada 9 pagi tadi, bagi misi menawan puncak Gunung Kinabalu.
Peserta ekspedisi anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, dijadual tiba di Laban Rata lewat hari ini, sebelum meneruskan pendakian dan dijangka sampai di puncak setinggi 4,095 meter itu pada awal pagi esok sempena Hari Kebangsaan 2022.
Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM Prof Madya Dr Zulkifli Hasan, yang mengetuai ekspedisi itu, berkata pendakian tersebut merupakan kemuncak kepada persediaan yang telah dilakukan oleh para peserta sejak beberapa bulan lepas.
Katanya persediaan yang dilakukan bukan sahaja berbentuk fizikal seperti latihan mendaki gunung dan bukit di Semenanjung, malah dari segi kekuatan minda terutama dalam kalangan pendaki OKU kerana ia membabitkan pendakian ke puncak sejauh 8.7 kilometer.
“Melalui ekspedisi ini kami ingin membawa mesej kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai aspek keterangkuman iaitu kepentingan golongan OKU perlu turut difikirkan dalam setiap dasar yang dibuat.
“Sempena sambutan Hari Kebangsaan pula kami berharap konsep ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat untuk semua) dapat dihayati untuk kita bersama-sama menikmati kemerdekaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Pensyarah Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM Prof Madya Dr Mohd Nizam Barom, yang merupakan OKU penglihatan, berkata ekspedisi itu merupakan satu pengalaman pendakian yang unik bagi golongan OKU sepertinya.
“Pengalaman pendakian ini sesuatu yang kami tidak pernah impikan boleh berlaku, jadi kami sangat teruja dan bersemangat. Memang mulanya agak gementar tetapi setelah menjalani latihan bersama pendaki lain, kami rasa telah bersedia,” katanya. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost