Sabah Raih Tiga Mata Di Likas

KOTA KINABALU: Sabah FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Sarawak United 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Gol tunggal daripada kapten pasukan Baddrol Bakhtiar pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memastikan Sabah mengutip tiga mata di halaman sendiri.

Walaupun Sabah dilihat mendominasi permainan sebaik wisel permulaan dibunyikan, mereka gagal membolosi gol lawan sehinggalah babak pertama berakhir.

Peluang terbaik mereka di separuh masa pertama ialah hasil tandukan Saddil Ramdani yang menerima hantaran Alto Linus pada minit ke-43, namun percubaannya itu terus ke dakapan penjaga gol Sarawak, Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Pasukan pelawat juga mempunyai peluang terbaik di penghujung babak pertama, namun hantaran Chanthuru Suppiah ke kawasan kotak penalti gagal disempurnakan dengan baik oleh Veenod Subramaniam.

Bersambung babak kedua, Sabah terus melakukan serangan dan kemasukan Amri Yahya hampir memperoleh jaringan pada minit ke-49 namun sepakannya berjaya ditepis keluar.

Begitu juga pada minit ke-50 apabila percubaan Saddil Ramdani terkena tiang gol pasukan Sarawak.

Bagaimanapun jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya hadir pada minit ke-62 dengan tandukan Baddrol hasil hantaran cantik oleh Saddil.

Selepas itu, Sabah hampir memperoleh jaringan kedua pada minit-70 menerusi voli Taiki Kagayama namun berjaya ditepis oleh penjaga gol pasukan lawan.

Pada minit ke-77, pelawat hampir menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan Uche Agba namun berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi Che Mat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *