Stor Diserbu, KPDNHEP Sabah Rampas 15,000 Liter Diesel Bersubsidi

Pasukan serbuan berjaya menemukan diesel yang cuba diseleweng di lokasi berkenaan.

BELURAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi, hasil serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Kg. Iran, di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata dalam serbuan jam 2.33 petang itu, sebanyak 15,000 liter minyak diesel di dalam lori tangki dan tong drum yang dipercayai untuk dijual kepada pihak industri, dirampas.

Turut dirampas, pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan penyelewengan itu, termasuk 2 buah lori, pam elektronik dan hos dengan nilai
sitaan keseluruhan berjumlah RM159,500.

“Risikan telah dijalankan selama tiga hari oleh KPDNHEP Sabah sebelum serbuan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, 2 lelaki tempatan yang berada di lokasi, turut ditahan.

Menurut Georgie, mereka dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan pemandu lori dan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta.

Manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta.

Tindakan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan, juga akan diambil.

“KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke atas semua kegiatan berkaitan barang
kawalan di Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar Undang-undang boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran berikut:

1) Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000;
2) Portal Aduan: e -aduan.kpdnhep.gov.my;
3) Call Centre 1-800-886-800;
4) Emel: [email protected] ;
5) Ez ADU KPDNHEP;
6) Hadir sendiri ke Pejabat KPDNHEP yang berdekatan;
7) Pusat Arahan Penguat kuasaan (Enforcement Command
Centre): 03 – 8882 6088 / 6245;
8) Surat Rasmi ke Pejabat KPDNHEP yang berdekatan; dan
9) Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri (senarai nombor talian sila layari portal rasmi)

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *