Benarkan Aktiviti Buru, Bunuh Buaya Di Sabah – Bung

Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah perlu mengambil langkah sama seperti Sarawak bagi membenarkan aktiviti memburu dan membunuh buaya secara berkala bagi mengurangkan populasi reptilia berkenaan.

Justeru, satu peraturan atau enakmen perlu diwujudkan bagi membenarkan aktiviti berkenaan dilakukan dengan pemantauan yang rapi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tindakan sebegitu perlu diambil bagi memastikan aktiviti memburu dan membunuh buaya boleh dilakukan dengan kadar segera agar keselamatan penduduk yang mencari rezeki di Sungai Kinabatangan tidak terjejas.

Beliau berkata, susulan tindakan Malaysia menurunkan taraf kategori buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II dalam Mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) di Afrika Selatan maka, diharap ia membolehkan buaya di Sabah diburu serta diperdagangkan.

“Saya berharap satu kajian akan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa agar dapat mengurangkan populasi buaya di negeri ini demi menjamin keselamatan penduduk, terutamanya yang tinggal di kawasan berhampiran sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bung Moktar berkata, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah perlu bertindak proaktif untuk menangkap buaya-buaya yang terdapat di Sungai Kinabatangan.

“Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif dan serius untuk menangani isu ini bagi memastikan penduduk yang menggunakan Sungai Kinabatangan sebagai laluan harian atau lokasi mencari sumber pendapatan,” katanya.

Pada Sabtu, seorang wanita maut dibaham buaya semasa keluar memancing bersama keluarganya berhampiran Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya di Sungai Kinabatangan.

Mangsa kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangan pada keesokan harinya pada jarak 800 meter dari lokasi terakhir mangsa diserang.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, kejadian sebegitu bukan kali pertama berlaku kerana sudah banyak mangsa yang terkorban akibat serangan buaya di Sungai Kinabatangan maka, tindakan pantas perlu diambil bagi memastikan konflik antara manusia dan buaya ini dapat dikurangkan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *