SPRM Sabah Tahan Bekas Pengarah & Pegawai Kerajaan

KOTA KINABALU, 2 Ogos : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang bekas pengarah dan seorang pegawai kanan kerajaan yang dipercayai mengemukakan tuntutan palsu lebih RM175,000 serta meminta suapan hampir RM60,000 daripada kontraktor.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 44 dan 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM di sini pada 12.30 tengah hari ketika hadir memberi keterangan.

Mereka disyaki menggunakan lesen beberapa syarikat bagi melakukan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman berjumlah lebih RM175,000.

Bekas pengarah itu juga dipercayai menerima bayaran secara bulanan lebih RM60,000 daripada seorang kontraktor dari 2017 hingga 2019. 

Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan itu dan berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 18 Akta SPRM 2009 .  

Beliau berkata tangkapan itu merupakan hasil kerjasama SPRM Sabah dengan unit integriti agensi kerajaan yang terbabit.

Katanya kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok bagi permohonan reman. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *