Sabah, Sarawak Bukan Tong Sampah Untuk Polis ‘Bermasalah’, Kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis mahu kerajaan menghentikan melayan Sabah dan Sarawak seperti ‘tong sampah’ terutama tindakan menghantar pegawai bermasalah ke negeri itu.

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis berang dengan tindakan polis menukar sembilan anggotanya yang terlibat kes peras ugut bertugas di Sabah dan Sarawak.

Isnaraissah berkata, kedua-dua negeri berkenaan “bukan tong sampah” untuk menerima pegawai bermasalah.

“Tolonglah kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak bukannya tong sampah.

“Sudahlah kami tertinggal dari segi infrastruktur, takkanlah dari segi perkhidmatan pun kamu kasi kami orang yang bermasalah,” katanya di Facebook.

Isnaraissah yang juga ketua wirawati Warisan mempersoalkan “sampai bila kami mahu maju” susulan pertukaran pegawai berkenaan.

“Henti layan kami seperti ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, berkata sembilan anggota polis yang sebelum ini disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, mengenai pemilikan dadah telah ditempatkan bertugas di Sabah dan Sarawak.

Siasatan berkaitan semua anggota terdiri konstabel sehingga sub inspektor itu masih dijalankan secara terperinci.

Anggota bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada 29 Julai.

Semua anggota terbabit disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas polis menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *