Juragan Berenang Enam Jam Minta Bantuan Bot Karam Di Semporna

Seramai 11 penumpang termasuk seorang kanak-kanak terselamat dalam kejadian itu. – Foto PDRM

SEMPORNA : Seorang juragan warga tempatan berenang selama enam jam ke Pulau Mantabuan bagi mendapatkan bantuan kerana bot yang membawa 11 penumpang telah dimasuki air sebelum karam, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata bot kayu itu dimasuki air sebelum karam dipercayai kerana terlanggar kayu yang terapung dalam kejadian antara 4.30 hingga 5 petang di perairan Pulau Mantabuan.

Bot dinaiki 11 penumpang mengalami kebocoran selepas terlanggar kayu terapung di perairan Pulau Mantabuan, Semporna, semalam. – Foto PDRM

Beliau berkata dalam kejadian itu, juragan bot berusia 46 tahun dan penumpang mengikat tong minyak kosong di sekeliling bot tersebut bagi mengelakkan ia tenggelam sebelum juragan itu berenang mendapatkan bantuan pihak berkuasa.

“Pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang berada di pulau itu kemudian menjalankan tindakan menyelamat semua mangsa sebelum menyerahkan kepada pasukan Polis Marin untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Farhan berkata kesemua mangsa terdiri daripada sembilan lelaki, dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga hingga 79 tahun.

Katanya, juragan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu menjalankan aktiviti perahuan dengan gopoh manakala empat penumpang yang tiada dokumen pengenalan diri ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1963.

“Semua juragan bot diminta sentiasa mematuhi keselamatan dan peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *