Peter Anthony Berjaya Gantung Hukuman, Sabitan Guna Dokumen Palsu

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony.

KUALA LUMPUR : Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony bagi menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan afidavit, hujahan bertulis dan hujahan lisan yang dikemukakan pihak pembelaan dan pendakwaan pada prosiding sebelum ini.

“Mahkamah berpuas hati dan memutuskan agar permohonan pihak pembelaan supaya suatu penggantungan pelaksanaan hukuman dan sabitan terhadap pemohon dalam kes ini adalah dibenarkan, berdasarkan alasan-alasan yang telah dinyatakan,” katanya yang turut memerintahkan wang jaminan terhadap Peter, 51, dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM80,000.

Azura juga membenarkan permohonan peguam S Devanandan yang mewakili Peter untuk menyelesaikan pembayaran baki jumlah jaminan sebanyak RM30,000 sebelum atau pada 3 Ogos depan memandangkan penjamin ahli politik itu tidak hadir prosiding, pada Isnin.

Pada 28 Julai lepas, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika membantah permohonan itu berhujah permohonan pihak pembelaan supaya Hakim Mahkamah Sesyen membenarkan tertuduh (Peter) diberikan suatu penggantungan pelaksanaan sabitan hanya boleh dibenarkan sekiranya terdapat ‘clerical error’ atau kesilapan seperti dinyatakan dalam Seksyen 278 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

“Jelas sekali tidak terdapat sebarang ‘clerical error’ dan oleh yang demikian permohonan pihak pembelaan supaya Peter diberikan suatu penggantungan pelaksanaan sabitan adalah tidak berasas pada peringkat ini,” katanya.

Sementara itu, Devanandan pula berhujah permohonan anak guamnya untuk menggantung pelaksanaan sabitan dibuat atas alasan yang sama seperti dalam dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan alasan terdapat keadaan istimewa mengikut Seksyen 311 KTJ.

Peguam itu berkata, rayuan Peter yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap terhadap sabitan dan hukuman bermerit dan mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *