Polis Nafi Waris Sulu Rekrut Ahli Di Sabah

Foto Hiasan

KOTA KINABALU : Polis Sabah menafikan dakwaan terdapat waris Sulu yang sedang aktif merekrut warga Filipina berketurunan Sulu di negeri itu.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah, berkata pihaknya sedang menyiasat kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri Sulu Sultaniyah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu.

“Polis Sabah memandang serius isu yang tular di media sosial mengenai dakwaan waris Sulu sedang aktif rekrut rakyat di Lahad Datu. Siasatan dan risikan polis mengesahkan tidak wujud kumpulan merekrut rakyat warganegara Filipina berketurunan Sulu di Sabah.

“Bagaimanapun, pihak polis sedang menjalankan siasatan berkaitan kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri SSDI dipercayai merupakan orang perseorangan yang bertindak mengambil kesempatan atas tujuan keuntungan peribadi,” katanya dalam kenyataan.

Idris memberi amaran supaya tidak menyebarkan sebarang berita atau maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Terdahulu, Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa terdapat kegiatan aktif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk merekrut warga tempatan, di Lahad Datu.

Setiausaha MHO, Hishamuddin Hashim, sukarelawan MHO di Sabah dimaklumkan berhubung proses rekrut itu menerusi aplikasi WhatsApp.

“Gerakan berkenaan memberikan dokumen-dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu.

“Hantaran WhatsApp itu turut mengandungi gambar-gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *