Dewan Rakyat Lulus RUU Anti-Lompat Parti

RUU anti-lompat parti dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam.

KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang anti-lompat parti melalui undi belah bahagi selepas bacaan ketiga.

RUU itu diluluskan selepas perbahasan selama dua hari bermula semalam melibatkan 54 Ahli Parlimen.

Semasa undi belah bahagi yang diumumkan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, seramai 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 11 lagi tidak hadir.

Penggubalan akta anti-lompat parti memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Ia memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan daripada Ahli Parlimen atau dua pertiga bagi membolehkan ia diluluskan dan menjadi sebahagian Perlembagaan Malaysia kelak.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggulung perbahasan RUU hari ini.

Pembentangan RUU anti-lompat parti adalah salah satu syarat utama memorandum persefahaman (MoU) antara Ismail dan Pakatan Harapan (PH).

Semasa sesi perbahasan, Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) menyifatkan RUU itu sebagai “kemenangan untuk rakyat” dan berharap ini akan membawa kepada lebih ramai pengundi keluar untuk mengundi, pada pilihan raya umum akan datang.

“(Undang-undang ini akan menjadi) penamat kepada mereka yang berniat untuk mengkhianati rakyat,” katanya semasa perbahasan sambil menambah RUU itu adalah hasil positif kerjasama antara kerajaan dan PH.

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), berharap undang-undang itu dapat menamatkan trend lompat parti di Sabah, sejak sekian lama.

“Sebagai orang Sabah, cukuplah dengan lompat-lompat (parti) ini. Sabah akan terus ketinggalan kerana lompat parti hanya menguntungkan pelompat dan bukannya rakyat,” katanya.

Awal bulan ini, Wan Junaidi berkata, beliau menjangkakan undang-undang itu akan dilaksanakan, pada akhir September, jika RUU itu diluluskan semasa mesyuarat Dewan Rakyat sidang ini.

Wan Junaidi ketika menggulung, berkata beliau berterima kasih kepada Ismail yang sangat komited berhubung pindaan Perlembagaan berkenaan.

Beliau menekankan kepentingan dalam proses perbincangan dan libat urus yang telah diadakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas bermula April 2022.

“Semangat tolak ansur dan kesediaan untuk berunding diterapkan supaya kita boleh mencapai satu kata sepakat dalam penggubalan Rang Undang-Undang seperti mana Ahli Yang Berhormat lihat pada hari ini.

“Oleh itu, setiap orang di Dewan yang mulia ini perlu dengan izin ‘vote according to your conscience’,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *