‘Tiada MA63, Tiada Malaysia’, Ongkili Tolak Cadangan Tok Mat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili, berkata langkah membuang MA63 seolah-olah meninggalkan Persekutuan Malaysia.

KOTA KINABALU : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili menzahirkan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan usul Perjanjian Malaysia baharu.

Beliau berkata, Perjanjian Malaysia asal dan ditandatangani pada 1963 atau lebih dikenali sebagai MA63, adalah satu dokumen suci serta asas berkaitan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu, berkata langkah membuang MA63 adalah seolah-olah meninggalkan Persekutuan Malaysia.

“Tiada MA63, tiada Malaysia. Tambahan pula, dengan pindaan perlembagaan yang diluluskan sebulat suara oleh Parlimen pada Disember 2021, MA63 kini menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan … (usul) ini tidak akan memperkukuh Malaysia,” katanya menurut Bernama.

“Kita mesti membina kekuatan, kedamaian dan solidariti. Kita perlu mengelak bermain dengan semantik dan politik,” katanya.

Pada Sabtu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan, ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah di Penampang, mencadangkan agar kepimpinan BN negeri itu mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu sebagai langkah lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri sebagaimana termaktub dalam MA63. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *