Marah Kena Saman, Lelaki Langgar Kenderaan JPJ Guna Jengkaut

Seorang lelaki nekad melanggar pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jengkaut. – Foto ihsan pembaca

KENINGAU: Marah akibat disaman, seorang lelaki nekad melanggar pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jengkaut yang dipandunya.

Kejadian berlaku ketika sepasukan anggota JPJ dikatakan melakukan operasi secara rondaan di Jalan Kepayan, dekat Kampung Magatang, di sini, menyebabkan kenderaan milik pasukan penguat kuasa itu remuk.

Berdasarkan maklumat, anggota terbabit dikatakan mengesyaki jengkaut terbabit yang mencurigakan dan menahannya untuk tujuan pemeriksaan, sebelum pemandunya didapati tidak memiliki lesen memandu kelas F. 

Selepas saman dikeluarkan, pemandu yang tidak berpuas hati itu tiba-tiba melanggar kenderaan milik JPJ sehingga terbalik.

Beberapa video mengenai insiden itu tular di media sosial memaparkan anggota JPJ cuba memujuk pemandu jengkaut terbabit, namun tidak diendahkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Difahamkan, tiada anggota JPJ yang tercedera, namun kenderaan dilanggar lelaki terbabit rosak teruk. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *