Ada Parti Dalam BN Beri Kad Pengenalan Kepada PATI Untuk Dapat Undi, Dakwa Ongkili

Maximus Ongkili menyampaikan ucapan dasar sempena persidangan perwakilan tahunan PBS kali ke-36 dan 37 di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Facebook

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili mendakwa, sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah untuk kepentingan politiknya.

Tanpa menyebut parti mana, beliau berkata, penglibatan parti terbabit meraih undi daripada Pati terbukti dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenainya di Sabah sebelum ini.

“Saya tidak perlu cakap nama parti dalam BN yang pernah menggunakan ‘perkhidmatan Pati’. Saya rasa kita semua maklum tentang hal ini kerana penglibatan parti itu meraih undi daripada Pati terbukti dalam (siasatan) Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Pati di Sabah.

“Mereka menyalahgunakan kuasa dengan memberikan kad pengenalan kepada Pati untuk memudahkan golongan ini mengundi parti berkenaan pada pilihan raya negeri dan umum.

“Perkara ini menyebabkan senarai pengundi di Sabah kotor,” katanya dalam ucapan dasar sempena persidangan perwakilan tahunan PBS kali ke-36 dan 37.

Sementara itu, Ongkili yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, kerajaan BN telah gagal dalam menangani masalah Pati di Sabah.

Katanya, gabungan yang pernah disertai PBS itu juga seakan-akan tidak mengambil peduli kesusahan rakyat di negeri itu yang berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan Pati.

“Dulu kita banyak kali berpecah, minta maaf jika saya cakap ini, tapi ketika berada di bawah tampuk BN, gabungan berkenaan mempunyai rekod yang sangat buruk dalam menangani masalah Pati di Sabah.

“Tiada tindakan konkrit daripada BN untuk menangani masalah ini dan sejak penubuhan PBS pada tahun 1985, kita juga tiada rekod yang boleh dibanggakan berkaitan isu ini.

“Kerajaan BN gagal dalam menangani masalah Pati di Sabah, mereka seakan-akan tidak mengambil peduli kesusahan kita berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan Pati,” katanya.

PBS sebelum ini merupakan salah sebuah parti dalam BN, namun ia keluar daripada gabungan berkenaan selepas BN hilang kuasa pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Dalam perkembangan lain, Ongkili menyelar dakwaan pembangkang yang menganggap misi untuk mengkaji rujukan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di London baru-baru ini hanyalah “makan angin”.

Katanya, dakwaan mengatakan mereka hanya “makan angin” di London menunjukkan pembangkang mempunyai pemikiran yang cetek selain rasa tercabar dengan misi kerajaan itu.

“Saya sempat memegang dokumen asli MA63 (di London) dan ini membakar semangat kami untuk mencari sebanyak mungkin dokumen bagi menyokong tuntutan terhadap hak-hak kita dan ini juga selari dengan perjuangan GRS dalam mempertahankan hak-hak negeri serta rakyat Sabah.

“Tetapi alangkah sedihnya kami kerana usaha kami ini mendapat komen negatif pula daripada pihak pembangkang, mereka menganggap lawatan kami ke London buang masa dan duit.

“Kenapa bila kita pergi mencari bukti di London, kita dianggap makan angin? Adakah mereka (pembangkang) rasa tercabar kerana kita yang memulakan gerakan mencari fakta tambahan dan jika mereka serius, sepatutnya perkara ini dilakukan ketika mereka masih berkuasa,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *