Subsidi Rakyat Tak Mansuh, Tapi Pemberian Bertambah, Kata Annuar

Kerajaan tidak pernah memutuskan untuk menarik balik segala subsidi pada 31 Julai seperti dakwaan dalam video di TikTok, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa menjelaskan, kerajaan tidak menarik balik subsidi diberikan kepada rakyat, malah meningkatkan lagi pemberiannya bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini.

Menurutnya, kerajaan sentiasa prihatin tentang masalah kos sara hidup dihadapi rakyat, sehingga telah menampung sejumlah RM43 bilion subsidi untuk pelbagai perkara.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab tentang komunikasi, saya nak nafikan sekeras-kerasnya, tidak pernah ada keputusan untuk menarik balik segala subsidi pada 31 Jul seperti didakwa. Ini adalah fitnah sangat besar dan sama sekali tidak benar dengan apa yang kerajaan telah putuskan.

“Kerajaan pimpinan perdana menteri buat keputusan jitu iaitu dasar membantu rakyat melalui subsidi dikekalkan, malah jumlah subsidi ditingkatkan, selain subsidi lama yang masih berjalan sedang dikaji agar pelaksanaannya lebih berkesan,” katanya dalam sidang media.

Beliau mengulas mengenai sebuah video di TikTok, yang mendakwa kerajaan akan menarik balik semua subsidi pada 31 Julai, sehingga mengakibatkan rakyat melakukan pembelian panik.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun ini, bagi menanggung kategori minyak masak peket 1kg.

Perdana menteri berkata, program subsidi yang telah bermula sejak Jun 2007 itu, merupakan subsidi ditanggung kerajaan bagi minyak masak peket berharga RM2.50 1kg untuk kegunaan golongan B40, berbanding harga pasaran sebenar, RM9.

Annuar berkata, walaupun media sosial mempunyai akses kebebasan dalam menyalurkan sebarang maklumat dan pandangan, namun ia harus disertai dengan sikap tanggungjawab dan tidak disalah guna untuk tujuan tidak baik. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *