Covid-19 Jejas Pengusiran PATI Di Sabah, Kata Timbalan Menteri

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yasin berkata penularan Covid-19 menjejaskan usaha pengusiran pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di depot Jabatan Imigresen di Sabah.

Katanya, mengikut perangkaan tahanan keseluruhan di negeri ini ketika ini seramai 7,161 orang.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 6,597 adalah warga Filipina yang masih ditahan di semua empat depot imigresen di Sabah.

“Seperti yang kita sedia maklum, ancaman pandemik Covid-19 memberi impak sangat besar kepada keseluruhan perkhidmatan awam secara amnya dan Jabatan Imigresen secara khususnya.

“Ini dapat dilihat dari segi proses pengusiran tahanan warga asing yang tergendala sejak pandemik Covid-19 bermula,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Imigresen di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Jonathan berkata, terdapat jurang perbezaan sangat ketara dalam pelaksanaan penghantaran balik tahanan warga Filipina sejak 2018 hingga 2022.

Katanya, statistik pelaksanaan pengusiran warga Filipina bagi 2019 hingga 2022 semakin menurun berbanding 2018 yang merekodkan penghantaran pulang seramai 10,905 orang.

“Ia semakin menurun disebabkan faktor utama iaitu ancaman pandemik covid-19 yang membawa kepada penutupan sempadan antarabangsa negara terlibat.

“Sejajar dengan peralihan ke fasa endemik, kita berharap pihak Kedutaan Filipina memberi kerjasama sepenuhnya dan dapat mempermudahkan urusan pengusiran tahanan warganegara Filipina seperti sebelumnya.

“Ia bagi membolehkan tahanan ini balik ke negara asal dan menjalani kehidupan normal,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama pihak kedutaan dan kerajaan Filipina sangat penting bagi memastikan proses pengusiran dapat dilaksanakan dan diselesaikan dengan segera.

Untuk rekod, seramai 9,610 individu berjaya dihantar pulang pada 2019 sebelum menurun kepada 4,408 warga asing pada 2020.

Manakala bagi 2021 pula mencatatkan penghantaran seramai 1,184 individu dan hanya 90 individu berjaya dihantar pulang tahun ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *