Bayaran Ambil Lesen Memandu Di Sabah Naik Mulai 1 Julai

Persatuan Pengusaha Institut Memandu Sabah berkata, kenaikan bayaran untuk mendapatkan lesen memandu ialah RM100 untuk kelas manual (D) dan RM150 bagi kelas automatik (DA).

KOTA KINABALU: Bayaran bagi mendapatkan lesen memandu di semua institut memandu di Sabah bakal dinaikkan mulai 1 Julai ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Institut Memandu Sabah (PPIMS), Wong Cheu Kheng berkata, kenaikan bayaran itu dibuat selepas kajian terperinci susulan kenaikan harga barangan dan kos overhed perniagaan.

Katanya, kenaikan kos bagi bahagian operasi perbelanjaan dan overhed disebabkan setiap kenderaan komersial perlu menjalani pemeriksaan rutin di Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) sebelum ia boleh memperbaharui cukai jalan.

“Selain itu, satu lagi faktor yang menyumbang kepada kenaikan bayaran di institut memandu ialah kualiti sistem dan perkhidmatan pengangkutan awam di Sabah, terutama di pinggir bandar dan pedalaman yang tidak boleh diakses dengan pengangkutan awam.

“Oleh itu, pengusaha institut memandu menyediakan pengangkutan kepada pelanggan sebagai salah satu perkhidmatan tambahan,” katanya kepada FMT.

Wong berkata, pelaksanaan gaji minimum oleh kerajaan juga antara faktor institut memandu terpaksa menaikkan kadar bayarannya.

Katanya, gaji minimum meningkat sebanyak 67% sejak lapan tahun lalu dan terbaru kerajaan mengumumkan gaji minimum dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 mulai 1 Mei lalu.

“Pelaksanaan ini dibuat terlalu awal sedangkan banyak syarikat belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik (Covid-19).

“Kerajaan mula melaksanakan gaji minimum RM900 pada 2014 yang dinaikkan kepada RM1,000 pada 2016. Dua tahun kemudian (2018), kerajaan menaikkannya kepada RM1,200 dan baru-baru ini pula sebanyak RM1,500,” katanya.

Mengulas lanjut, Wong berkata, kenaikan itu hanya membabitkan kelas manual (D), iaitu bayaran RM100 untuk setiap pelajar dan kelas automatik (DA) dengan bayaran RM150 dikenakan bagi setiap pelajar.

“Perubahan kecil ini hanya untuk memulihkan kos berkaitan, iaitu kenaikan hanya pada kadar minimum 9% daripada harga siling semasa.

“Struktur jumlah bayaran baharu ini juga termasuk perkhidmatan tambahan dan kami berharap akan dapat meneruskan hubungan baik dengan pelanggan kami,” katanya dengan menambah bahawa kualiti perkhidmatan akan terus ditingkatkan selaras kenaikan bayaran berkenaan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *