RMK12: Sabah Belanja Lebih RM1.47 Bilion Untuk 1,098 Projek – Ketua Menteri

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

KOTA KINABALU : Sabah telah membelanjakan RM1.479 bilion atau kira-kira 28.15 peratus daripada agihan peruntukan RM5.254 bilion bagi melaksanakan 1,098 projek yang diluluskan dalam pelan pusingan kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sehingga 12 Jun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri berharap dapat mengatasi prestasi peringkat nasional yang kini telah mencapai lebih 36.8 peratus, dengan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. 

Katanya beliau mahu semua kementerian dan agensi memberi perhatian dan tindakan susulan dalam menjayakan projek-projek pembangunan yang telah dirancang.

“Mana-mana peraturan yang tidak berkesan, cari kaedah baharu agar pelaksanaan dapat dibuat secepatnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Kali Kedua di Menara Kinabalu di sini hari ini. 

“Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dan ini digunakan sebagai satu platform untuk berkongsi maklumat bagi membincangkan dan seterusnya mendapatkan jalan penyelesaian kepada isu-isu pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini,” tambahnya.

Sementara itu Hajiji berkata semua agensi serta jabatan kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap situasi 69 projek di Sabah yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’, kerana projek berkenaan adalah penting untuk penduduk negeri.

“Jika disebabkan jabatan atau agensi kerajaan negeri, saya minta mereka tidak melambat-lambatkan projek daripada kerajaan Persekutuan, dan beri kerjasama yang sepatutnya, kerana setiap projek seperti pembinaan sekolah atau hospital, semuanya adalah untuk rakyat. 

“Jika pembayaran lambat, kita usahakan dan jika kontraktor yang bermasalah, tindakan perlu diambil. Saya juga minta kuasa diturunkan kepada pegawai Persekutuan di Sabah, jika ia membabitkan projek daripada Persekutuan. Ini bagi mempercepatkan keputusan dibuat dan projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *