KENINGAU : Sepasukan guru dari Kolej Vokasional Keningau telah menjuarai GoAbroad Innovation Awards kategori Innovative TEFL/Teach Abroad Program untuk tahun 2022 setelah melayakkan diri ke peringkat akhir.
Keputusan pertandingan yang berpusat di Colorado, Amerika Syarikat, itu diumumkan secara bersemuka di majlis penyampaian anugerah di negara AS pada 2 Jun 2022 dan disusuli dengan pengumuman di laman sesawang penganjur pada 3 Jun 2022.
Pasukan ini terdiri daripada empat orang guru iaitu Larry James, Alvinah Tony, Akmal Rosimun dan Sirhajwan Idek.
Senarai pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan boleh diakses melalui laman sesawang: https://blog.goabroad.com/2022-goabroad-innovation-award-winners-announced/
Projek pendidikan mereka yang dinamakan “Omiyage” (hadiah dalam bahasa Jepun) itu adalah berasaskan tradisi dan amalan negara Jepun yang mereka terokai untuk mempelbagaikan strategi pembelajaran.
Tujuan projek ini adalah untuk membimbing para pelajar serta guru untuk mempelajari dan mengaplikasikan beberapa amalan tradisi dan moden negara tersebut seperti haiku, pechakucha, manga, Keitai Shousetsu dan Daruma Otoshi.
Malah ramai pelajar pelajar-pelajar di kolej tersebut yang telah menghasilkan hasil karya seni mereka seperti haiku (puisi) dan manga (komik).
Beberapa pelajar juga telah mencuba stail pembentangan pechakucha apabila menyertai simposium dalam talian.
Pengarah kolej Vokasional Keningau, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, mengucapkan tahniah kepada pasukan itu kerana usaha mereka ini mampu meningkatkan kemahiran sosiobudaya para pelajar dan mengukuhkan kualiti pendidikan kolej tersebut melalui program pengantarabangsaan sebegini.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost