KOTA KINABALU: Upko mempersoalkan keputusan kerajaan memperuntukkan RM155 juta bagi membiayai program tambang percuma pengakutan awam di Kuala Lumpur sedangkan keperluan di Sabah tidak diberi peruntukan serupa.
Naib presidennya, Ewon Benedick berkata, Sabah mempunyai keperluan dan peruntukan yang banyak bagi membaik pulih jalan di seluruh negeri namun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak pula bertindak pantas berhubung perkara berkenaan.
“Pada hemat saya, perdana menteri cuba menutup isu ketidakcekapan perkhidmatan monorel di Kuala Lumpur dengan memberikan tambang percuma sebulan kepada pengguna.
“Jika sebabnya adalah untuk meringankan beban kos, ya, tetapi apakah beban kos akan menurun selepas satu bulan.
“Persoalan paling besar ialah apa untuk Sabah? Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin selaku menteri kerja raya menyatakan Sabah memerlukan peruntukan RM265 juta untuk membaik pulih jalan di seluruh negeri, perdana menteri tidak pula pantas menangani keperluan Sabah ini,” katanya dalam kenyataan.
Ewon berkata, pengumuman perdana menteri itu jelas menunjukkan keutamaan kerajaan persekutuan bukan kepada keperluan mendesak rakyat Sabah walaupun ia sudah diangkat oleh kerajaan negeri.
“Sebelum ini, rakyat Sabah diberitahu jika kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan itu senada, maka kemajuan di Sabah akan lebih mudah dilaksanakan.
“Hakikatnya tidak, perdana menteri sebelum ini, Muhyiddin Yassin tidak mengambil tindakan drastik membaiki sistem kesihatan awam di Sabah sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sebaliknya Sabah adalah yang terkebelakang dalam program vaksinasi rakyat.
“Perdana menteri yang ada hari ini juga gagal menjadikan keperluan rakyat Sabah seperti pembaikan jalan-jalan di seluruh negeri sebagai keutamaan,” katanya.
Terdahulu, Ismail mengumumkan semua pengangkutan awam kendalian RapidKL akan ditawarkan secara percuma selama sebulan, mulai hari ini.
Katanya, pemberian perkhidmatan percuma Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT) serta bas RapidKL itu dibuat sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost