Tak Mahu Bayar Cukai Jalan Di Sabah, Kita Akan Bincang, Kata Wee

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, berkata pihaknya akan melihat implikasi berhubung cadangan pengecualian pembayaran cukai jalan di Sabah.

KUALA LUMPUR : Isu permohonan dan rayuan pengguna jalan raya kenderaan persendirian di Sabah yang menginginkan pengecualian bayaran cukai jalan akan dibincangkan, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Permintaan itu susulan pengguna jalan raya di negeri itu merungut dan mahu mereka diberi pengecualian cukai jalan susulan keadaan jalan rayanya yang agak daif.

Wee berkata, pihaknya memahami hasrat pengguna jalan raya di Sabah, tetapi buat masa ini beliau tidak mahu menjanjikan apa-apa, namun akan membawa isu itu ke kementerian serta pihak berkaitan.

“Saya akan bincang dengan pihak kementerian dan melihat implikasinya macam mana, saya akan bincang dengan pihak kerajaan negeri, menteri kerja raya Sabah dan macam mana kita nak buat.

“Saya tengok keadaan ini kena lihat secara menyeluruh dan saya faham apa permintaan itu. Saya tidak akan buat satu janji bulan dan bintang, tak boleh, kita kena, ini tertakluk kepada kemampuan kewangan negara,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, media melaporkan pengguna jalan raya di Sabah mahukan pengecualian bayaran cukai jalan susulan keadaan jalan raya di Sabah yang agak daif.

Pengguna meminta agar pengecualian bayaran cukai jalan diberikan sementara menunggu pembinaan Lebuhraya Pan Borneo siap.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *