GRS Platform Terbaik Perjuang Hak-Hak Sabah

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (tiga, kanan) ketika melancarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

KOTA KINABALU, 28 Mei : Pemimpin parti-parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sependapat bahawa parti gabungan berkenaan adalah platform terbaik untuk memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata GRS juga  adalah wadah terbaik untuk membangunkan Sabah sehingga mampu menjadi negeri termaju di Malaysia.

“Hari ini adalah sejarah politik bagi Sabah apabila hampir semua pemimpin parti di negeri ini dapat bersama-sama dalam satu perjuangan demi rakyat Sabah.

“Kesedaran pemimpin Sabah telah menjadikan GRS sebagai wadah perjuangan ‘Sabah First, Sayangi Sabah’. Pemimpin belajar kesilapan masa lampau. Atas kesedaran itu, hari ini kita bersatu bersama pemimpin politik yang ada pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sini hari ini yang dirasmikan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah.

GRS kini disertai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Star Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Terdapat lagi beberapa parti yang telah memohon menyertai GRS antaranya Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Sementara itu, Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata perjuangan GRS dalam mempertahankan hak-hak negeri dan rakyat Sabah, seperti yang termaktub dalam MA63 sememangnya murni. 

“Bagi kami di PBS, perjuangan MA63 amat sinonim dengan PBS yang kini berusia 37 tahun. Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad, PBS ingin menyeru kepada rakan-rakan dalam GRS agar tidak gentar atau malu untuk memperjuangkan hak-hak kita, apatah lagi yang termaktub dalam MA63. 

“Menyentuh mengenai hak-hak kita, satu perkara yang perlu didukung oleh GRS ialah mengembalikan autonomi kuasa imigresen kepada Kerajaan Sabah. Di Sarawak, isu berkaitan imigresen adalah antara empat perkara yang dianggap ‘non-negotiable’ atau tidak boleh dibawa berunding,” tegasnya.

Beliau berkata GRS mampu mengukuhkan lagi perjuangan komponen-komponen parti demi negeri dan rakyat Sabah.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee pula berkata penubuhan GRS adalah sesuatu perkara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah.

“Inilah yang rakyat Sabah mahu. Mereka mahu pemimpin parti di Sabah bersatu, sama-sama memperjuangkan hak-hak kita di Sabah. Harap-harap pemimpin dan ahli GRS sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu menyumbangkan tenaga dan fikiran kepada GRS,” katnya.

Sementara itu, Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata sebab utama USNO menyertai GRS kerana percaya hanya melalui gabungan berkenaan rakyat Sabah boleh bersatu.

“Kita mahu menyumbang tenaga dan fikiran kepada GRS…kita mahu berjuang bersama-sama demi memajukan Sabah…kita mahu bersama-sama memperjuangkan hak Sabah dan GRS adalah wadah terbaik untuk kita berjuang,” tambahnya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *