Bayar Dividen Minimum RM1 Juta, Hajiji Beritahu GLC Sabah

Bermula tahun ini, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, mahu semua syarikat berkaitan kerajaan membuat pembayaran dividen sekurang-kurangnya RM1 juta kepada kerajaan negeri.

KOTA KINABALU: Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta berusaha mencapai sasaran pembayaran dividen sekurang-kurangnya RM1 juta kepada kerajaan negeri bermula tahun ini, kata Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Katanya, Sabah mempunyai lebih daripada 200 GLC dan badan berkanun, namun hanya kira-kira 10 daripadanya membayar dividen kepada kerajaan negeri.

“Ada antara (GLC) yang belum bayar (dividen kepada kerajaan). Sepanjang saya menjadi ketua menteri, mereka harus membayar sekurang-kurangnya RM1 juta pada setiap tahun.

“Saya mahu semua GLC melaksanakan tugas mereka untuk bayar dividen agar ia dapat digunakan demi kebaikan negeri serta rakyat. Mereka yang diberi tanggungjawab untuk mengetuai sesebuah GLC harus melaksanakan tugas dengan baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat lembaga syarikat Sabah Softwoods Berhad di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Hajiji berkata, tahun lalu, kerajaan negeri menerima sejumlah RM114 juta bayaran dividen daripada GLC dan badan berkanun, iaitu meningkat sebanyak 12.9%, berbanding 2020.

“Tindakan tegas seperti ini akan menentukan kejayaan kita dan ia adalah peranan kepimpinan negeri bagi mengurus serta memastikan ia berjaya.

“Kerajaan negeri yakin, bagi mencapai kejayaan ini, kita perlu meneroka sumber pendapatan baharu termasuk inisiatif pelaburan serta mempelbagaikan aktiviti ekonomi,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *