Isu Pengemis Pala’u Di Tawau Perlu Penyelesaian Tuntas

TAWAU, 26 Mei : Isu pengemis jalanan di Tawau yang membabitkan etnik Pala’u iaitu manusia nomad laut yang tidak mempunyai mana-mana kerakyatan, memerlukan sebuah penyelesaian tuntas bagi mengekang isu berkenaan daripada menjadi semakin melarat.

Hasil pemerhatian Bernama, mereka pada awalnya hanya mengemis di bandar terutamanya di simpang bulatan Jalan Pesisiran berdekatan Masjid Al-Kauthar, dengan rata-rata kanak-kanak diperalatkan mengemis dari satu kenderaan ke kenderaan lain dengan cara berbahaya termasuk bersandar atau bergayut pada kenderaan.

Mereka juga menjadikan kawasan berhampiran iaitu Taman Traulsen yang terletak di pesisiran laut sebagai tempat mereka beriadah, mandi serta mencuci baju, selain kaki lima bangunan di Pusat Komersial Ba Zhong menjadi tempat tidur.

Namun, kira-kira dua bulan lepas mereka mendirikan kediaman haram berupa pondohan di kawasan pantai berhampiran deretan restoran di Pusat Komersial Ba Zhong, malah kawasan sekitar yang dahulunya bersih dengan pemandangan pasir pantai kini berubah umpama tapak pelupusan sampah.

Bernama berkesempatan mendekati seorang wanita bernama Basaraya yang mendiami pondohan haram itu bersama kira-kira 20 orang termasuk lima kanak-kanak dan turut mendakwa kesemua mereka dari perairan Pulau Denawan, Semporna.

Basaraya, 50-an yang tidak fasih berbahasa Melayu itu berkata mereka menaiki bot dan tiba di Tawau sejak beberapa minggu lepas kerana mahu mencari makan dan ketika ini mereka juga mengumpul kotak dan botol untuk dijual kepada pembeli bahan terpakai. 

Bercakap dalam bahasa Bajau, beliau berkata kumpulan itu pada awalnya menyara hidup sebagai pelaut di Semporna, namun mereka ke Tawau demi memperoleh pendapatan juga hidup yang lebih baik.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Joseph Pang berkata isu pengemis itu ada dibangkitkan dalam Mesyuarat Keselamatan Daerah pada Isnin lepas dan tindakan akan diambil oleh agensi berkaitan termasuk terhadap struktur haram yang dibina. 

“Operasi bersepadu juga akan dilaksanakan agar kumpulan ini tidak menjadikan kawasan Pusat Komersial Ba Zhong sebagai tempat tidur mereka,” katanya kepada Bernama.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong Justin Wong berharap polis serta agensi berkaitan termasuk MPT, Jabatan Imigresen serta Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat menubuhkan pasukan bagi menangani perkara itu yang semakin membimbangkan dan menjejaskan imej Tawau.

“Saya juga beberapa kali melihat, mereka ini dihantar teksi dan mengemis di tempat jauh seperti di McDonalds di Perdana Square Batu 3,” katanya dan menambah akan turut menghantar memorandum kepada kerajaan bagi mewakili seluruh penduduk Tawau menuntut isu pengemis itu diselesaikan.

Tukang bakar ikan di DeView Cafe Christina Veran, 41, berkata pekerja di sepanjang deretan premis berhampiran pondohan itu setiap hari terpaksa berdepan situasi membersihkan najis manusia yang dibuang di kaki lima.

“Kalau pagi kami buka kedai, selalu ada banyak kotor, dan minggu lepas saya buka kedai ada najis budak, jadi satu kerja lagi untuk dibersihkan. Setiap kali juga kami mengingatkan mereka supaya tidak membuat kotor kalau mereka mahu tidur dan sebelum kami tutup kedai, saya pun akan ingatkan lagi,” katanya.

Senada perkara itu, Pengurus One Buck Cafe Salmiah Awaluddin, 26, berkata pekerja restoran terpaksa membersihkan kaki lima yang dikotori dengan najis manusia sebelum memulakan kerja mereka. 

“Ada pelanggan juga mengeluh kerana kadang-kadang (mereka) ini singgah di meja makan, dan menimbulkan rasa kurang selesa pelanggan kami.  Kami selalu ingatkan mereka supaya jangan ganggu pelanggan…kehadiran mereka ini sedikit menjejaskan…mereka ini jika tidak dilayan boleh bertindak agresif,” katanya lagi. 

Seorang pengunjung di Taman Traulsen, Mansor Beddu, 54, ketika ditemui pula berharap kerajaan dapat menangani segera isu terbabit yang semakin melarat kepada masalah pencemaran, selain keselamatan. 

“Kehadiran mereka bukan berkurangan malah makin bertambah, mereka meminta-minta di tengah jalan raya dikhuatiri kita terlanggar mereka, dan kita faham mereka juga manusia tetapi diharap perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *