Tuduhan Palsu Dokumen, Nasib Peter Anthony Diketahui Esok

Pada 14 Dis 2021, mahkamah memerintahkan Peter Anthony membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Nasib bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah, Peter Anthony akan diketahui esok, sama ada dilepaskan atau disabitkan atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi dijangka membacakan keputusan pada akhir kes pembelaan pada 9 pagi.

Pada 18 Feb lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan tiga saksi dengan Peter sebagai saksi pembelaan pertama pada prosiding yang bermula 9 Feb.

Dua saksi lain ialah pembantu peribadi Peter, Imy Christopher, 36, dan pengurus forensik digital di Siaga Informatics Sdn Bhd, Nurul Aiman Azmail, 34.

Pada peringkat pendakwaan pula, 15 saksi termasuk bekas perdana menteri, Najib Razak; bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas ketua hakim negara, Zaki Azmi yang merupakan pengerusi lembaga pengarah di UMS (bagi tempoh 3 April 2013 hingga 31 Julai 2018), memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 5 April 2021.

Pada 14 Dis 2021, mahkamah memerintahkan Peter, 51, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai pengarah urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Haresh Prakash Somiah dan Francine Cheryl Rajendram manakala Peter diwakili S Devanandan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *