Pulau Daat Di Sabah Bakal Dilelong Pada Harga RM121.5 Juta

Pualau Daat

KOTA KINABALU: Pulau Daat yang terletak di antara Menumbok, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilelong pada 27 Mei di Bornion Centre, Jalan Kolam, Luyang di sini.

Iklan mengenai lelongan terbuka itu tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu, dengan pulau berkeluasan 237.55 hektar terbabit bakal dilepaskan pada harga rizab RM121.5 juta.

Pelelong Bumiputera bakal mengendalikan lelongan yang dibuat susulan pembubaran Potensi Bernas Sdn Bhd (Potensi Bernas) iaitu syarikat pembangunan dan pengurusan hartanah berdaftar di Sabah selaku pemilik Pulau Daat.

Difahamkan, proses lelongan sepatutnya dilaksana tahun lalu, namun ditangguhkan berikutan sekatan yang dikenakan akibat penularan Covid-19.

Pulau Daat yang juga sebahagian daripada Labuan, mempunyai tempoh pajakan selama 999 tahun yang tamat pada 31 Disember 2853.

Pemilik pertama pulau itu ialah warga British, John Gavaron Treacher dan Clarence Cooper berdasarkan geran yang dikeluarkan pada 1856 oleh Gabenor Labuan, George Warren Edwardes bagi pihak Ratu Victoria pada masa itu.

Ia kemudian bertukar tangan kepada pemilik lain termasuk yang terakhir, Potensi Bernas.

Sebelum ini pulau itu pernah dicadang sebagai laluan bagi jambatan yang menghubungkan Labuan dengan Menumbok sepanjang 9.15 kilometer, mengambil kira usaha membangunkan Pulau Daat yang lama terbiar.

Selain itu, ia juga pernah menarik perhatian pelabur pada 2011 untuk pembangunan kompleks petroleum bersepadu bernilai RM3 bilion , namun pelan dibatalkan berikutan geografi Pulau Daat yang cetek dan berlumpur, sekali gus tidak sesuai dibangunkan sebagai kawasan industri minyak dan gas. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *