Sabah Catat Lebih 2,000 Kes Jangkitan HFMD, Naik Lebih 51 Kali Ganda

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan peningkatan lebih 51 kali ganda kes jangkitan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang tinggi dengan 2,834 kes direkodkan dari Januari sehingga 16 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata angka itu jauh lebih tinggi berbanding hanya 55 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, lima daerah mencatat kes tertinggi setakat ini iaitu Tawau (435 kes), Sandakan (387 kes), Lahad Datu (308 kes), Kota Belud (244 kes) dan Papar (229 kes).

Bagaimanapun katanya tiada kes kematian akibat HFMD dilaporkan di Sabah setakat ini.

“Sebanyak 93.1 peratus kes adalah kanak-kanak yang berumur kurang daripada enam tahun. Transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Rose Nani berkata, penyakit HFMD kebiasaannya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 10 tahun yang menyebabkan lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut.

Katanya, penyakit itu disebabkan virus (kumpulan enterovirus) HFMD yang merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam daripada mereka yang dijangkiti.

“Kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah golongan yang paling mudah dijangkit HFMD dan selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama,” katanya.

Berikutan situasi HFMD di Sabah ketika ini, katanya, JKNS mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk melakukan siasatan segera ke atas kes yang dilapor dan menjalankan promosi kesihatan serta pemeriksaan menyeluruh premis yang berisiko seperti taska dan tadika.

JKNS juga mengarahkan penutupan premis di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk kerja-kerja pembersihan premis bagi memutuskan rangkaian jangkitan HFMD sekiranya terdapat kes positif HFMD di sesuatu premis.

Dr Rose Nani berkata JKNS juga menggalakkan amalan kebersihan diri dalam kalangan masyarakat dengan mengadakan promosi kesihatan di pasar raya dan tempat permainan kanak-kanak terutama dalam meningkatkan disinfeksi secara berkala.

Beliau turut menekankan tanggungjawab ibu bapa dalam pencegahan HFMD dengan memastikan langkah pencegahan penularan jangkitan penyakit itu dilaksanakan sepanjang masa.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *