Kerajaan Komited Hapus Jurang Pembangunan Semenanjung, Sabah, Kata PM

Ismail Sabri Yaakob melancarkan siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan sedang berusaha untuk menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah termasuk menerusi pembinaan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kewujudan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol yang dibina di Sabah mampu mengubah keseluruhan kawasan di negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada masa sama, kerajaan juga terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan dengan cara membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pedalaman Sabah.

“Saya difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai agensi pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion.

“Sememangnya menjadi harapan kerajaan persekutuan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti juga negeri-negeri lain,” katanya ketika berucap melancarkan siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *