PAS Sabah Mahu Tanding Pada PRU15

Setiausaha PAS Sabah Aliakbar Gulasan berkata, parti itu sudah pun menumpukan gerak kerja di kawasan kerusi diyakini boleh menang jika bertanding pada PRU15 nanti.

KOTA KINABALU: PAS Sabah menyatakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan sudah mengenal pasti kerusi yang diyakini boleh menang.

Setiausahanya Aliakbar Gulasan, parti itu juga sudah melakukan gerak kerja masyarakat di kerusi yang boleh menang.

“Kita terus terang, PAS mengharapkan kita (di Sabah) meletakkan calon pada PRU15, ada kerusi-kerusi yang kita yakin boleh menang dan gerak kerja sudah kita teruskan kepada masyarakat.

“Kita letakkan sasaran, yang pasti kita akan bertanding pada PRU walaupun tak sebutkan (jumlah) kerusi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program ziarah sekolah sempena Hari Guru 2022, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya di sini, hari ini.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan tidak menolak kemungkinan Sepanggar menjadi kerusi yang disasarkan PAS di Sabah.

“Mungkin (Sepanggar), kalau media mengatakan begitu, saya katakan ya, saya akan bertanding (pada PRU15) InsyaAllah,” katanya.

Ditanya mengenai calon pilihan raya yang akan dikemukakan PAS Sabah nanti, beliau berkata, perbincangan mengenai perkara kini berada di peringkat akhir.

“Calon semua sudah ada, saya boleh katakan kini ia di peringkat akhir untuk kita tentukan dan PAS Sabah juga akan meletakkan calon-calon dalam kalangan profesional serta berpendidikan dengan sebahagiannya adalah anak muda.

“Kita juga akan mencadangkan calon bukan Islam, paling kurang pun seorang. Bagaimanapun, perkara ini masih dalam peringkat perbincangan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *