Pusat Hiburan Diserbu, Lelaki Maut Terjun Bangunan Elak Diperiksa Polis

Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai terjun dari tingkat satu bagi mengelak diperiksa pihak berkuasa.

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas dikatakan terjun dari tingkat satu sebuah bangunan bagi mengelak diperiksa polis yang melakukan serbuan ke atas sebuah pusat hiburan, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi, lelaki warga asing berusia 23 tahun yang ditemui cedera parah itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, hari ini.

Ketua Polis Tawau Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku apabila sepasukan polis menjalankan operasi pemeriksaan di sebuah pusat hiburan, di Jalan Datuk Chong Thien Vun, di sini.

Katanya, pusat hiburan berkenaan didapati beroperasi melebihi masa dan pemeriksaan awal berjaya menahan lima individu berusia 17 hingga 45 tahun, termasuk seorang wanita.

“Semua suspek ditahan selepas dipercayai masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen diri yang sah, selain pasukan serbuan turut merampas beberapa peralatan elektronik di pusat hiburan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di belakang premis berkenaan kemudiannya berjaya menahan seorang lelaki bersama mangsa yang berlumuran darah di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari aras satu ketika cuba melarikan diri.

“Suspek dihantar ke Hospital Tawau menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi tadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3, Ordinan Hiburan Awam 1958 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Menurutnya, satu siasatan terperinci secara telus berkaitan suspek melarikan diri dan cedera sehingga menyebabkan kematian juga sedang dijalankan.

Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat sehingga mengganggu siasatan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *