Disyaki Anggota Abu Sayyaf, Lelaki Guna Pasport Malaysia Ditahan Di Manila

Menurut laporan berita, polis Filipina mendapat maklumat berhubung ketibaan Omar Harun atau Airola-Adjustable, menggunakan pasport Malaysia.

KUALA LUMPUR : Seorang lelaki disyaki anggota kumpulan militan Abu Sayyaf yang membawa pasport Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, di Manila, pada 10 Mei.

Memetik laporan Manila Standard, polis Filipina mendapat maklumat berhubung ketibaan pemegang pasport Malaysia, Omar Harun, atau Airola-Adjustable, kira-kira 5 petang, yang tiba dari Malaysia menerusi Philippine Airlines.

Lelaki berusia 52 tahun itu, dikatakan menjadi pengawal keselamatan dan penduduk dari Zamboanga City. Dia dikehendaki pihak berkuasa berhubung dakwaan pembabitan dalam penculikan seorang ahli Jehovah Witness, pada 2002.

“Berbekalkan waran tangkap, sepasukan polis daerah selatan bersama bantuan Biro Imigresen, Kumpulan Keselamatan Penerbangan dan polis Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, memberkas suspek sejurus tiba,” kata laporan itu.

Siasatan awal mendapati suspek menggunakan pasport Malaysia bertujuan menyembunyikan identiti sebenarnya.

Kata laporan itu, Omar merupakan ahli keempat kumpulan Abu Sayyaf, di bawah pimpinan Radullan Sahiron, yang ditangkap polis daerah selatan negara itu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *